Monday, November 15, 2010

Terbanglah Merpatiku



Merpatiku
Terbanglah dari penjara ini ...

Bebaskan dirimu
Dari belenggu masa silam
Yang menguasai kotak mindamu

Merpatiku
Terbanglah setinggi yang mungkin
Sesekali jangan berpaling
Kerna
Sekali kau berpaling
Masa silammu itu
Bisa merobek-robekkan sekeping hatimu

Tegaslah merpatiku
Tetapkan hatimu merpatiku
Hala tuju ditanganmu
Dan pastinya
Sinar bahagia akan menemuimu


Merpatiku
Terbanglah merpatiku
Terbanglah setinggi yang mungkin
Alam ini masih menerimamu
Udara ini masih membenarkan dirimu menyedutnya
Asalkan
Bebaskan dirimu dari ikatan semalam yang mendukakan
Bebaskan dirimu dari janji-janji lama
Bebaskan dirimu dari mereka yang pernah berpaut dihatimu

Terbanglah merpatiku
Terbanglah setinggi mungkin
Asalkan tidak kau berpijak di dahan nan rapuh
Kerna
Pasti dirimu kan tersungkur lagi

Bonda

Puisi ini hasil nukilan saya semasa saya menjejak kaki di UKM. Masa puisi ni ditulis saya baru sahaja dua minggu di UKM. Masa ni saya rindu sangat pada emak, ialah selama ni tidak pernah berlekang sehinggalah hari ni. Puisi ini telah saya tulis pada 30 Mei 1998. Jadi saya kongsikan di sini bersama teman-teman sekalian.

Bonda
Kau umpama permata
Yang amat bernilai
Penerang dunia ini
Di kala hati anakmu kegelapan
Dikala hati anakmu mendidih darah muda
Di usia remajanya

Bonda
Kau umpama lilin
Yang sanggup membakar diri
Tanpa mengenal jemu
Sekalipun ribut taufan melanda
Namun,
Kau tetap mengharunginya
Betapa unggulnya hatimu
Tanpa insan bergelar suami disisimu

Bonda,
Tahukah dirimu
Betapa sakitnya hati anakmu ini
Bila melihat kesengsaraanmu
Mendidik dan membesarkan anakmu ini

Bonda,
Sekalipun berirama perutmu
Kering kehausan tekakmu
Walaupun terpaksa beratapkan langit
Walaupun kepanasan menyaluti tubuhmu
Namun,
kau tetap sabar
Meniti penantian
Bagi melihat kejayaan anakmu
Yang kau belai
Yang kau didik

Bonda
Betapa bangganya aku
Menjadi anak kelahiranmu
Biarpun pelbagai dugaan mendatang
Akan kusahut
Akan kuhadapi
Kerna,
Setitis airmatamu
Setitis darahmu mengalir
Setitis keringatmu membasahi
Akan kukenang
Akan kuingati
Kerna,
kau kebanggaanku
Kau sumber inspirasi
Dalam aku mengharungi arus
di pentas dunia ini ...



Rumah Kecil Atap Nipah, Rumah Besar Atap Genting


Rumah kecil beratap nipah,
Terletak dihujung jalan
Seakan kotak bentuknya
Tampak usang dari luarnya
Namun strukturnya tetap kukuh
Tiada mata sudi memandang
Hinggakan ada tidak menyedari
Akan kewujudannya
Tinggal di dalamnya
Sepasang suami isteri
Serta dua anaknya.

Rumah besar atap genting,
Bertentangan rumah kecil beratap nipah
Tersergam indah
Kukuh binaannya
Terbeliak mata memandang
Milik seorang wakil rakyat
Besarta isteri dan dua orang anaknya

Rumah kecil beratap nipah
Walaupun kecil
Syurga bagi penghuninya
Penuh keceriaan
Penuh warna-warna keriangan
Tulang empat kerat yang ada
Dikerah mencari rezeki
Menyuap dua mulut anak dan isteri
Walaupun hidup ibarat kais pagi makan pagi
Kais petang makan petang
Tetap bersyukur
Kerna
Isteri yang setia mengasuh anak
Itulah isteri solehan, ibu mithali
Anak-anak pula
Mendengar kata
Taat pada ibu bapa
Taat pada Allah
Hasil didikan, bimbingan sempurna

Rumah kecil beratap nipah
Walaupun ada tidak menyedari akan kewujudannya
Namun tetap istana bahagia
Bagi penghuninya

Rumah Besar atap genting
Milik seorang wakil rakyat
Punya nama
Punya harta
Lambang kemegahan dunia

Rumah besar atap genting
Menjadi tumpuan ramai
Terbeliak terpegun mata memandangnya
Betapa gahnya ... rumah besar atap genting
Namun
Tiada siapa yang tahu
Kucar kacir di dalamnya
Syurga dunia
Si ayah yang sibuk berkempen, berceramah, berpolitik
Ke luar negara menguruskan perniagaan
Tinggalkan isteri
Tinggalkan anak
Si ibu, status isteri wakil rakyat
Menjadikannya ia alpa pada rumahtangganya
Berantakanlah rumahtangga
Pabila karier lebih diutamakan
Si anak, yang sering ditinggal-tinggalkan
Tanpa didikan, tanpa bimbingan
Maka ribut taufan menghiasi
Rumah besar atap genting

Rumah kecil atap nipah
Rumah besar atap genting
Punya penghuninya sendiri
Yang mengatur kehidupannya sendiri
Kalau benar jalannya
Maka bahagialah
Kalau salah aturannya, tunggang-langganglah ia